December 9, 2011

Erti Kehidupan

ASSALAMUALAIKUM semua..Apa khabar? Harap sihat semuanya. Bagaimana dengan hari yang anda lalui? Menyeronokkan? Membosankan? Atau pun menyedihkan? Pelbagai perkara dan pengalaman baru yang saban hari kita lalui. Semakin lama, semakin kita mengenal erti kehidupan. Analoginya, hidup ini ibarat seekor burung. Hidup terbang melayang di langit tinggi. Berusaha mencari rezeki untuk menyambung kehidupan yang entah bila kan berakhir riwayatnya. Susah senang..suka duka dirasai. Kadang kala, hujan turun membasahi bumi. Kadang kala, terik mentari menyengat diri. Semuanya dilalui. Kehidupan sangat memerlukan ketabahan dan kesabaran.

Ketika saya belajar di salah sebuah institusi pendidikan, saya berehat di sebuah taman, sambil menikmati sepotong roti, saya melihat sepasang burung yang sedang terbang mengelilingi taman. Saya memberi secebis roti kepada seekor burung. Burung tersebut membahagikan roti itu kepada dua dan makan bersama-sama. Saya sangat terkejut dan saya belajar erti kehidupan. Kehidupan adalah suatu perkongsian, di mana kita sama-sama saling bantu-membantu antara satu sama lain. Jika kita dalam kesusahan, kita perlukan pertolongan. Jika orang lain dalam penderitaan, kita hulurkan bantuan. Kehidupan ini memerlukan insan lain yang saling melengkapi. Jika seseorang punya kemahiran, berkongsilah dengan rakan. Tidak rugi berkongsi. Asal ikhlas memberi.

Kadang-kadang, kenyataan tidak sama dengan apa yang diimpikan. Jika kita melihat orang telah berjaya, kita perlu terus berusaha. Jika kita melihat orang kurang berjaya, kita boleh beri semangat untuknya. Kehidupan memerlukan motivasi. Tanpa motivasi diri, muhasabah kendiri, hidup akan seperti layang-layang putus tali, Terbang tinggi, tetapi, tiada tujuan... Matlamat.. Mahu pun impian. Biarlah kehidupan ini direncanakan dengan baik. Dirancang dengan teratur agar tidak berterabur. Sajak di bawah ini berkisar tentang ‘Kota Semalam’ yang merujuk kepada kehidupan. Terimalah......

Terbinanya Kota Semalam

Terbinanya kota semalam
Pada lantai rata sahara
Acuan sengsara bak selaut air mata
Sungai lelah mengalir deras
Membasahi seisi semesta
Langit hitam tidak bertongkat
Awan muram resah menghambat
Hembusan bayu menyapa pilu
Mendukung sayu menyentuh kalbu.

Terbinanya kota semalam
Melalui cerucuk tajam berbisa
Melalui ranjau duka nestapa
Tiang kesungguhan berdiri kukuh
Dinding ketekunan berdiri teguh
Bumbung keazaman berdiri angkuh  
Tenaga dikerah keringat diperah
Agar kota tersergam indah.

Terbinanya kota semalam
Terpateri potret dibalut kenangan
Berbingkai pengalaman disisip kemanusiaan
Minda terlayar dibalik masa
Hati terbang melewati renungan
Kota semalam tidak selamanya ada
Pabila malam merangkak tiba
Kota dibina pasti berbeda
Dulu, kini, dan selamanya.

Nukilan: Ayun nissa’

Harap para pembaca dapat mentafsir maksudnya. Tidak selamanya kita berada di tampuk yang sama. Hidup ini ada pasang surutnya. Pelbagai cabaran mengajar kita erti kehidupan. Seperti mana diri saya. Dahulu, pada mulanya, saya belajar di tadika. Dekat dengan ibu bapa. Sekolah rendah juga sama. Dapat bertentang mata setiap hari dengan ibu bapa. Kemudian, pergi ke bandar. Belajar di sekolah menengah. Selepas itu, merantau jauh di utara. Baharulah, kini, saya belajar di bahagian tengah semenanjung. Cabaran demi cabaran ditempuh. Perjalanan jauh hingga umur pun sudah mencecah puluh. Zaman remaja hampir dipenghujungnya. Kian, melewati fasa dewasa. Kehidupan akan sampai di pertengahannya. Entah sampai atau tidak saat diri menjadi tua. Entah bila ajal tiba. Manusia sememangnya tidak dapat menduga. Sekian...

No comments:

Post a Comment