December 1, 2011

Luahan Sekeping Hati

ASSALAMUALAIKUM.. SELAMAT SEJAHTERA.. SALAM 1 MALAYSIA.. Terima kasih kerana sudi membaca luahan sekeping hati saya (Hati sekeping ke? Bukan dua?) Hehe.. Malam tadi saya berkesempatan membaca satu blog yang sangat-sangat sedih. Sememangnya, sukar menggambarkan kesedihan yang teramat kerana ia merupakan suatu yang subjektif. Sukar menggambarkan kesedihan melalui kata-kata, kerana hati jua yang merasainya. Seberat mana pun kesedihan, ia memerlukan sokongan dan galakan dari insan tersayang.
Tiada perpisahan tanpa pertemuan. Tiada pengakhiran tanpa permulaan. Sebuah perkenalan menjadi titik permulaan. Seperti fasa pembangunan sesebuah negara, ada zaman permulaan, perkembangan, kegemilangan, dan kejatuhan. Begitu juga dengan CINTA. Cinta adalah anugerah dari Ilahi yang diletakkan di dalam hati. Dimanakah hati? Kalau dalam bahasa Inggeris, heart atau liver?? Urmmm.. apa yang lebih penting, kerjasama... hehe.. gurau saja! Apa yang lebih penting adalah melalui hati, lahirlah perasaan. Perasaan yang tidak boleh digambarkan. Apabila membaca blog tersebut, saya berasa sebak. Beliau cuba menyelamatkan istana cinta dari terus runtuh menyembah bumi. Tapi, istana yang dibina tetap runtuh. Bak kata orang, langit tidak selalunya cerah..indah. Kadang-kadang, hujan di siang hari. Tetapi, tidak mengapa, kan muncul pelangi mengiringi di akhir nanti. Pelangi yang memberikan kehidupan lebih berwarna-warni.
Semua orang mengharapkan yang terbaik dalam suatu perhubungan. Mengharapkan perhubungan yang berkekalan. Jagalah ia setiap hari. Semailah ia dengan benih cinta. Siramlah ia dengan air kesetiaan. Bajalah ia dengan kasih sayang. Agar terus subur sentiasa. Agar terus bercambah menjadi sebatang pohon. Tidak tunduk layu. Setiap perhubungan memerlukan pengorbanan, kesetiaan. Tetapi, tidak semua perhubungan berakhir seperti apa yang diharapkan. Tidak kira perhubungan dengan rakan atau teman. Wanita.. insan yang mudah tersentuh hatinya.. Sensitif.. Memerlukan perhatian. Dorongan dan galakan. Sajak cinta di bawah ini, untuk tatapan semua. Harap sudi membaca.

Runtuhnya Empayar Cinta

Empayar cinta dibina sekian lama
Dipancari cahaya warna suria
Dikelilingi bebunga mekar mewangi
Dihuni pasangan raja dan permaisuri
Bersama dua pasangan putera puteri
Terlakar impian di tiang perjanjian
Terukir misi di dinding berdiri
Kenangan tercipta di sudut hati
Pengalaman terbenam di dasar pengetahuan.

Badai menjelma tidak diduga
Empayar cinta runtuh segala
Terkubur pengorbanan di tanah perjuangan
Tersungkur jatuh dek lubang perpisahan
Bunga layu di tasik pilu
Menghakis rindu menambah syahdu
Tertusuk duri pada nurani
Tatkala kesetiaan disimbah kehinaan
Tatkala kerinduan disimbah kebencian.

Ketabahan meniti kehidupan
Kesabaran mengharungi cabaran
Tidak semudah yang disangkakan
Tidak sama yang dirasakan
Cukup sekadar menunai kewajipan
Melewati masa dan usia
Mana mungkin terbina semula
 Empayar cinta yang sama.

Nukilan: Ayunnissa’



No comments:

Post a Comment